OGOS 2022

Premier Sarawak Meriahkan Persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Berjiwa Rakyat ‘Di Sini Lahirnya’


LIMBANG: Buat julung kalinya Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) di bawah Majlis Seni Sarawak (MSS) telah mengadakan persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Berjiwa Rakyat ‘Di Sini Lahirnya’ di Bahagian Limbang pada Rabu.

Persembahan ini dibuat khas untuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg bersempena meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-72 tahun dan sempena Perasmian Muzium Limbang pada Khamis, 4 Ogos 2022. 

Tetamu jemputan dan masyarakat Limbang telah dipersembahkan dengan pertunjukan silat sebagai pembuka tirai majlis dan tarian tradisional Adai-Adai serta hadrah daripada penggiat seni di Bahagian Limbang. 

Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Berjiwa Rakyat ‘Di Sini Lahirnya’ dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian daripada beberapa artis tempatan antaranya Bob Yusuf, Nurhijrah Yahya, Dayangku Fadzilah, Syafiq dan Iwan Dasri. 

Kemuncak acara, tetamu jemputan dan masyarakat Limbang telah dipertontonkan dengan persembahan bertenaga daripada Bapa Rock Malaysia Datuk Ramli Sarip yang mendendangkan 6 buah lagu popularnya sejak dari tahun 1980an hingga kini. 

Pada persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Berjiwa Rakyat ‘Di Sini Lahirnya, Premier Sarawak bersama beberapa tetamu kehormat yang lain turut mendendangkan beberapa buah lagu lama serta lagu popular rakyat Sarawak ‘Berkikis Bulu Betis’.

Persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Berjiwa Rakyat ‘Di Sini Lahirnya’ telah diiringi pemuzik-pemuzik Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) dan disiarkan secara langsung di platform Facebook  Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan saluran Youtube UKAS Channel serta Facebook MSS. 

Majlis itu juga menyaksikan penganjur MSS bersama Pejabat Residen Bahagian Limbang mempersembahkan kuih pulut kuning sebagai meraikan Ulang Tahun Kelahiran Premier Sarawak.

Sebagai menghargai kehadiran Premier Sarawak, setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) daripada kaum Melayu, Iban, Cina dan Kedayan telah menyampaikan cenderamata kepada Premier Sarawak serta turut menerima cenderamata isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Il Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah serta isteri Datin Elsi Marlisa Abdullah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS